Minyak Zaitun terkenal dengan pelbagai khasiat untuk kesihatan. Ibu yang sedang hamil, seharusnya memerlukan sesuatu yang dapat menjaga tahap kesihatan mereka. Oleh itu, artikel hari ini akan memberi penerangan tentang Kelebihan Minyak Zaitun untuk Ibu Hamil.
Sebelum kita terjun terus kepada topik khasiat minyak zaitun, ada baiknya kita kenali Minyak Zaitun secara ringkas terlebih dahulu.
Jenis Jenis Minyak Zaitun.
Ya, ada lebih dari satu jenis Minyak Zaitun. Sebenarnya ada dalam 5 – 7 jenis. Dua jenis yang mungkin biasa anda dengar adalah Minyak Zaitun “Virgin” dan juga “Extra Virgin”.
Selain dari itu, ada juga Minyak Zaitun Pomace dan Minyak Zaitun “Refined”.
Baiklah, sekarang ayuh kita bicarakan mengenai topik utama yang anda nantikan – 5 Kelebihan Minyak Zaitun Untuk Ibu Hamil.
Minyak Zaitun Mengurangkan Risiko Diabetis Semasa Hamil.
Satu kajian terkawal telah di lakukan di Sepanyol. Lebih kurang 800 ibu ibu hamil diberikan diet Mediterranean beserta Minyak Zaitun Extra Virgin sebagai makanan tambahan. Dari kajian tersebut, satu rumusan tentang Diabetis Semasa Hamil telah terhasil.
Ringkasnya, ibu ibu hamil yang diberikan diet Mediterranean dan Minyak Zaitun Extra Virgin mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat Diabetis semasa hamil. Malah, tahap kesihatan ibu dan anak juga lebih baik.
Ulasan penuh tentang kajian tersebut boleh anda baca di sini.
Minyak Zaitun Mengurangkan Kesan Sampingan “Stretch Marks” Pada Ibu Hamil.
Salah satu kesan yang kurang disukai oleh golongan ibu ketika hamil adalah “Stretch Marks”. Kulit di bahagian perut meregang dan meninggalkan kesan regangan. Terlebih dahulu ingin dinyatakan, Minyak Zaitun tidak merawat atau menghilangkan kesan regangan. Ia hanya membantu mengurangkan kesan sampingan apabila regangan tersebut berlaku.
Minyak Zaitun “Extra Virgin” kaya dengan Vitamin E dan pelbagai antioksida lain. Ia juga dikenali sebagai penyimpan kelembapan.
Vitamin E adalah sejenis antioksida utama dalam proses penjagaan kulit yang sihat. Ada pelbagai fungsi dan kebaikan Vitamin E untuk kulit. Antara yang telah dikenal pasti adalah:
- Mengawal kulit dari kerosakan yang disebabkan oleh sinar UV dan radikal bebas.
- Mengawal kulit dari keradangan. Vitamin E adalah bersifat anti keradangan (anti inflammatory).
- Merawat luka.
Untuk maklumat lebih mendalam tentang fungsi Vitamin E untuk kulit, baca artikel ini.
Ringkasnya, walaupun Minyak Zaitun tidak merawat atau menghilangkan regangan. Sekiranya ia diaplikasikan dari awal, kesan sampingan dari regangan kulit itu dapat diminimakan.
Dengan adanya aplikasi minyak zaitun, kulit akan menjadi lebih sihat. Kulit juga akan kekal lembap. Di samping itu, minyak juga bertindak sebagai pelincir.
Paling tidak, pengamal minyak zaitun tidak akan merasa gatal gatal dan pedih bila berlakunya regangan kulit ketika hamil.
Minyak Zaitun Mengekalkan Tahap Kesihatan Ibu Dan Bayi.
Ibu yang hamil perlu kekal sihat dan bertenaga sepanjang tempoh kehamilan. Minyak Zaitun adalah salah satu pemakanan yang dapat membantu dalam mengekalkan kesihatan ibu hamil.
Minyak Zaitun mempunyai sifat anti keradangan (anti inflammatory).
Keradangan (orang Melayu panggil, bengkak atau masuk angin) adalah tindak balas semula jadi badan apabila berlaku sebarang kecederaan dalam badan.
Banyak keradangan dalam badan berlaku tanpa kita sedari. Semakin banyak keradangan berlaku, badan kita menjadi semakin kurang sihat. Di sinilah perlunya makanan tambahan seperti minyak zaitun. Sifatnya yang anti keradangan akan mengawal keradangan yang berlaku dalam badan. Dengan itu, badan akan kekal sihat.
Bayi juga turut mendapat manfaat kesihatan dari ibu yang mengamalkan pemakanan minyak zaitun. Kajian mendapati bayi yang dilahirkan oleh ibu pengamal minyak zaitun kurang mengalami sesak nafas dalam tahun yang pertama.
Minyak Zaitun Mengelak Sembelit.
Salah satu masalah utama ibu hamil adalah sembelit. Majoriti ibu yang hamil akan mengalami masalah ini. Pengambilan minyak zaitun secara harian adalah satu cara untuk mengurangkan kemungkinan ibu hamil terkena sembelit.
Lemak di dalam minyak zaitun bertindak sebagai pelicin untuk memudahkan perjalanan najis di dalam usus. Ia juga berfungsi sebagai pemangkin yang menyebabkan najis mengumpul banyak air. Dengan itu, najis tidak menjadi keras.
Untuk mengelakkan sembelit, ibu ibu hamil bolehlah mengamalkan satu sudu Minyak Zaitun “Extra Virgin” setiap pagi ketika perut kosong. Jangan berlebih lebihan, nanti cirit birit pula.
Minyak Zaitun Membekalkan Vitamin E kepada Bayi Semasa Menyusu.
Ibu hamil yang mengamalkan pemakanan minyak zaitun akan mempunyai bekalan Vitamin E yang banyak untuk susuan bayi.
Di saat kelahiran, Vitamin E di dalam badan ibu akan terkumpul di dalam kelenjar kelenjar bekalan susu ibu.
Vitamin E ini penting untuk bayi yang tidak cukup bulan dan juga bayi yang mengalami kerosakan buah pinggang atau pankreas.
Asid Oleic yang terkandung dalam minyak zaitun juga mempunyai kesan positif terhadap pembesaran bayi dan juga pembentukan tulang mereka.
Cara Mudah Untuk Ibu Ibu Mengamalkan Minyak Zaitun Setiap Hari
Banyaknya khasiat dan manfaat yang terkandung dalam minyak zaitun. Ibu ibu hamil sepatutnya mengambil manfaat tersebut untuk kebaikan diri sendiri dan juga bayi yang bakal lahir.
Anda hanya perlu pastikan yang anda ada sebotol Minyak Zaitun Extra Virgin di dalam rumah.
Setiap pagi selepas subuh, sebelum bersarapan, ambil satu sudu Minyak Zaitun terlebih dahulu.
Selepas mandi, titiskan setitik dua ke atas telapak tangan dan sapukan ke bahagian perut untuk mengurangkan kesan regangan kulit.
Untuk kesan yang lebih hebat, tukar diet anda kepada diet Mediterranean semasa hamil.
Apa Kata Anda Tentang Kebaikan Minyak Zaitun Untuk Ibu Hamil?
Baiklah, itu ringkasan tentang beberapa kebaikan minyak zaitun untuk ibu hamil. Kami di Anggun Muslimah berharap anda dapat memanfaatkan apa yang telah kami coretkan di sini.
Adakah anda tergolong dari ibu ibu yang mengamalkan minyak zaitun ketika hamil? Apa pengalaman anda ya?
Mungkin ada terdapat beberapa kelebihan minyak zaitun untuk ibu hamil yang tidak kami nyatakan. Sekiranya anda tahu tentang faedah dan manfaat lain, sila kemukakannya di ruangan komen.
Sekiranya anda ingin mula mengamalkan pengambilan minyak zaitun secara harian, cubalah minyak zaitun olive house.
InsyaAllah.