Bagaimana nak ajak anak bertudung seawal usia?
Mendidik anak bertudung pada usia kecil bukanlah satu usaha yang mudah.
Ia memerlukan banyak usaha dan kesabaran tinggi dalam melatih anak supaya bertudung. Kematangan dan kebijaksaan ibu bapa memainkan peranan yang amat penting disini.
Mendidik secara kekerasan bukanlah jalan terbaik.
Ya, ketegasan adalah penting. Tetapi tegas tidak bermaksud perlu keras.
Jadi bagaimana mendidik si kecil bertudung secara mesra dan berhemah?
1. Tunjukkan contoh. Ia jauh lebih berkesan.
Pendidikan adalah melalui teladan bukannya paksaan. Anak-anak lebih percaya apa yang mereka lihat, bukannya apa yang mereka dengar.”
– Dr. Tengku Asmadi
Rasanya perkara ini semua orang sudah tahu.
Tetapi saya akan jelaskan dari segi saintifik mengapa contoh daripada ibu bapa adakah kaedah mendidik yang paling berkesan.
Ibu bapa adalah figure terbaik dalam memberi contoh.
Anak-anak memerhatikan mereka setiap masa. Minda mereka merakam setiap tingkahlaku anda.
Bila anak-anak melihat ibu dan bapa mereka berpakaian menutup aurat dan sopan, secara automatiknya mereka mereka akan mengikut apa yang ibu bapa pakai.
Mendidik anak dengan contoh adalah lebih mudah dan lebih efektif. Mengapa?
Kerana.. mereka percaya apa yang mereka lihat.
Apa sebabnya mengapa perkara ini terjadi:
Dari mata turun ke hati.
Visual Cue atau isyarat visual adalah perkara yang paling berkuasa mempengaruhi otak terhadap semua spesis, termasuklah manusia.
Ia cepat tertanam dalam otak manusia.
Apatah lagi dengan anak kita yang kecil. Otak mereka mudah menerima tanpa banyak bantahan. Perlahan-lahan ia akan membina karekter mereka sedikit demi sedikit.
Sebab itulah mendidik dengan contoh adalah jauh lebih berkesan dalam mempengaruhi anak-anak secara psikologi.
2. Bersabar. Lakukan perubahan langkah demi langkah
Tahap penerimaan setiap anak kecil adalah berbeza.
Ada yang boleh menyesuaikan diri dengan cepat, dan ada anak yang memerlukan masa beberapa bulan untuk selesa dengan perubahan tersebut.
Kita sendiri sebagai ibu bapa harus banyak bersabar.
Kenalkan anak kita dengan pemakaian tudung secara bertahap, langkah demi langkah..
Mungkin sebagai permulaan, kita boleh pujuk mereka memakai tudung pada hari jumaat sahaja. Kemudian apabila mereka sudah selesa, tambahkan masa untuk setiap hari hujung minggu.
InsyaaAllah lama kelamaan mereka boleh memakai tudung setiap kali keluar dari rumah.
Perjalanan untuk bertudung seharusnya menjadi pengalaman yang menyeronokkan buat anak-anak.
Lakukan pada kadar yang membuatkan mereka selesa dan sentiasa perpandukan kepada matlamat yang anda telah tetapkan.
Yang penting adalah konsisten.
3. Beri pujian dan ceritakan kebaikan
Sudah menjadi lumrah bagi anak kecil suka dipuji.
Beri pujian kepada mereka setiap kali mereka bertudung. Malah juga apabila mereka melakukan perkara-perkara baik yang lain.
Ransang mereka secara positif.
Dalam masa yang sama, terapkan kepada mereka hikmah atau manfaat memakai tudung. Mungkin perkara ini terlalu besar untuk dihadam oleh pemikiran anak.
Tetapi gunakan analogi dan konsep mudah kepada mereka.
Saya percaya anda lebih tahu bagaimana untuk berkomunikasi dengan anak anda menggunakan aras bahasa mereka.
Yang penting, kita juga memberi pemahaman tentang tujuan asasi bertudung adalah untuk memenuhi kehendak Allah, bukan kehendak mak dan ayah.
Nasihat dan ingatan berulang-ulang kali juga perlu diberikan agar mereka sentiasa ingat apa kewajipan mereka setiap kali keluar dari rumah.
Mungkin mereka masih tidak memahami, tapi sekurang-kurangnya ia meresap masuk ke fikiran mereka.
4. Belikan tudung yang mereka suka (dan selesa)
Bukan sahaja para ibu-ibu yang tidak tahan melihat tudung yang cantik, malah anak kecil juga begitu..
Jangan pernah berkira membelikan tudung yang anak suka.
Perkara ini bukan sahaja secara tidak langsung menggalakkan anak kecil bertudung, malah mata kita sendiri akan ‘sejuk’ melihat anak-anak kita cantik bertudung.
Yalah, siapa yang tak gembira melihat anak kita cantik dan sopan bertudung, kan? 🙂
Sekarang ini, dengan kehadiran pelbagai jenama tudung dipasaran, mencari tudung yang sesuai buat si comel bukanlah lagi perkara sukar.
Tudung Si Comel, sebagai contoh, banyak mengeluarkan design yang cantik dan dibuat dari material yang selesa untuk si kecil. Sila check design mereka yang terbaru sekarang.
Apa yang ingin ditekankan disini adalah, sediakan segala keperluan anak-anak anda secukup yang mungkin.
Sediakan tudung yang secukupnya agar mereka boleh tukar apabila sudah berbau. Berikan kebebasan kepada mereka memilih warna dan corak yang disukai.
Buatkan mereka rasa selesa. Buatkan mereka rasa seronok.
Insyaallah, bila kita sedaya upaya menyediakan segala keperluan-keperluan ini, mereka tiada lagi alasan untuk tidak bertudung.
5. Memanfaatkan pendekatan emosi
Untuk menjadi ibu bapa yang baik, ia memerlukan lebih daripada kemahiran intelek.
Hati dan perasaan manusia selalu turun dan naik. Kehidupan anak-anak (malah kita sendiri pun) selalu berjalan alasan-alasan emosi.
Bila anak-anak dibawah pengaruh emosi, maka daya inteleknya tidak mampu berfungsi dengan baik dan membuat pertimbangan yang waras.
Bila kita perasan ada perubahan emosi dalam diri anak-anak, gunakan peluang ini bagi merapatkan hubungan dalam mendidik.
Sebenarnya anak-anak lebih bertindak balas kepada emosi kita dan bukan dengan kata-kata kita.
Malah setiap peristiwa yang berlaku jika disertai dengan kekuatan emosi dapat membuatkan ia tertanam di minda dan terpahat dihati bagi satu tempoh yang panjang.
Tidak percaya? cuba imbas kembali kenangan terindah anda dengan ibu bapa anda yang masih tidak dapat dilupakan sehingga sekarang?
Mungkin dalam tempoh anda menerapkan budaya bertudung ini pada diri anak, adakalanya mereka akan lemah semangat dan memberontak.
Mungkin mereka diejek. Mungkin mereka bosan. Mungkin juga merasa terbeban.
Oleh itu gunakan peluang ini untuk menyentuh mereka secara emosi. Cuba selami perasaan mereka. Cuba selidik apa yang membuatkan mereka jadi sebegitu.
Imbas kembali peristiwa anak kecil baru belajar berlatih..
Ada seorang anak kecil yang baru belajar berlatih.
Semasa ibu sedang memasak di dapur tiba-tiba kakaknya menjerit, “Mak, mak, tengok adik, tengok adik!”
Si ibu terus memadamkan api dan bergegas ke ruang tamu, “Kenapa? kenapa?” Si ibu kelihatan resah.
“Bukan mak, tengok adik sudah pandai bertatih,” jawab kakak.
Mereka lalu bersorak melihat telatah si kecil itu. “Adik pandai, adik pandai, adik pandai,” kata kakak dan ibu sambil bertepuk-tepuk tangan.
Adik tergelak-gelak kecil sambil cuba menapak. Setapak, dua tapak, tiga tapak, lalu terjatuh.
Si kakak lalu berpegang tangan adik, cuba membantunya bertatih semula sambil terus bersorak teruja, “Adik pandai, adik pandai, adik pandai.”
Begitulah keadaannya yang berlaku hinggalah akhirnya anak kecil itu mampu mengimbangi badannya lalu berjalan.
Cuba perhatikan peristiwa itu, adakah kita memarahi anak kecil itu semasa dia terjatuh? Tidak.
Adakah anak kecil itu faham makna perkataan ‘adik pandai’ yang ditujukan? Tidak juga.
Tetapi kenapa anak itu teruja dan mempunyai motivasi bagi meneruskan usahanya bertatih? Sebab dia faham reaksi emosi kita.
Reaksi kita memberikan dia isyarat, kita percayakan kebolehannya. keseronokan kita membuatkannya teruja bagi terus mencuba.
Inilah yang dikatakan pendekatan emosi.
Dan emosi yang digunakan pula mestilah positif.
Tetapi mengapa kita semakin lupa kaedah ini bila anak semakin membesar?
Penutup: sukarnya mendidik anak bertudung?
Dalam dunia langit terbuka luas yang segala-galanya pantas, anak-anak harus diasuh dengan mantap sejak awal usia lagi.
Mendidik anak perempuan memanglah tugas sukar.
Masakan tidak, syurga adalah ganjaran buat mereka yang berjaya.
Sesiapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan dan dia menjaga mereka dengan baik, memenuhi semua keperluan mereka dan menyayangi mereka, nescaya syurgalah balasan baginya.
– Riwayat Ahmad
Semoga perkongsian ini dapat memberi panduan kepada ibu bapa diluar sana dalam mendidik anak bertudung.
Semoga apa yang anda usahakan (termasuk membaca post ini) diberikan ganjaran yang besar disisi Allah.
Tiada apa yang lebih kita semua harapkan daripada dapat melihat syariat Islam tertegak dengan sempurna dalam diri anak-anak kita semua.
Sumber Asal: AkuIslam