Kasut tumit tinggi dan wanita memang tidak dapat dipisahkan. Ianya diibaratkan seperti irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan kerana kedua-duanya saling melengkapi dan saling memerlukan.
Memang benar, kasut bertumit tinggi merupakan pelengkap gaya seseorang bergelar wanita terutamanya bagi golongan belia.
Ada yang mengatakan bahawa dengan memakainya boleh meningkatkan keyakinan diri seseorang di samping membuatkan si pemakainya kelihatan lebih menarik dan menawan.
Namun, perlu diingat bahawa secara realitinya, tiada yang baik mengenainya kecuali bentuk rekaannya.
Lambakan pelbagai pilihan corak dan rekaan kasut tumit tinggi di pasaran dan menjadi trend semasa turut menambahkan lagi kegilaan wanita untuk memakai kasut bertumit tinggi. Namun apa yang membimbangkan tentang kasut tumit tinggi ini adalah kesannya kepada si pemakai itu sendiri khususnya dari segi kesihatan.
Hal ini kerana antara sedar atau tidak pemakaian kasut tumit tinggi mampu menjejaskan kesihatan kita apatah lagi ia boleh menyebabkan beberapa penyakit sampingan yang boleh mengganggu kehidupan seharian.
Kaki adalah asas badan yang perlu dijaga dengan betul agar tidak mengganggu sistem lain yang boleh menjejaskan kesihatan. Menurut Qamarul Munirah (2008), kasut tumit tinggi memberikan tekanan pada lutut dan jika seseorang wanita memakai kasut bertumit tinggi sekurang-kurangnya tiga sentimeter (sm), tekanan pada lututnya boleh meningkat sehingga 26%.
Keadaan ini akan mengundang kepada penyakit sendi dan penyakit osteoporosis atau lebih dikenali sebagai sakit bahagian tulang belakang bagi si pemakai kasut tumit tinggi yang tegar.
Lebih mengejutkan lagi apabila sesetengah reka bentuk terbaru kasut tumit tinggi boleh mengundang kepada masalah keguguran rambut. Ini berlaku kerana kedudukan pinggul cuba ditolak ke hadapan oleh si pemakai sehingga membolehkan isi perut bergerak ke depan lalu menimbulkan keadaan yang ramai wanita menyangka ianya adalah ‘perut buncit’.
Berkasut tumit tinggi dalam tempoh lama juga akan menyebabkan tendon achilles menjadi pendek hingga menyebabkan sakit tumit. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kesakitan pada bahagian rahang, leher dan kepala, gangguan kitaran haid malah membawa kepada masalah kesuburan serta fungsi bahagian atas tubuh badan.
Namun begitu, kasut yang bertumit rata juga tidak baik untuk kaki anda. Kasut yang bertapak rata seperti kasut balet rata hanya menjarakkan kaki anda dengan tanah lebih kurang dua sentimeter (sm) sahaja dan ia juga tidak memberi sokongan kepada lengkungan kaki dengan baik.
Kasut tumit rata yang tidak menyokong kaki dengan baik akan menyebabkan kecederaan kerana kaki anda terpaksa berusaha keras dalam mengekalkan keseimbangan. Kasut tumit rata juga boleh menyebabkan kesakitan dan kesan bengkak pada tumit terutamanya jika anda banyak melakukan aktiviti berjalan.
Menurut Mike O’Neill (2014), jurucakap Persatuan Chiropodists dan Podiatrists, kasut bertumit rata juga memberi tekanan tendon achilles di bahagian belakang tumit dan juga otot betis di belakang kaki. Kesakitan boleh berterusan sehingga 2 minggu.
Walau bagaimanapun, setiap masalah itu masih boleh dihindari dengan mengamalkan cara yang bijak seperti peribahasa Melayu ada mengatakan “Mencegah lebih baik daripada merawat”.
Jika kasut tumit tinggi tidak baik untuk anda, tumit rata juga tidak, jadi kasut yang bagaimana yang terbaik untuk kaki anda? Sememangnya telah menjadi lumrah bagi seorang wanita yang sentiasa mahu kelihatan cantik dan anggun pada setiap masa.
Namun perlu diingat bahawa jangan pula “kegilaan” pada sesuatu perkara itu tidak diberi perhatian sehingga akhirnya boleh membawa padah pada diri sendiri. Pilihan terletak di tangan anda sama ada ingin cantik atau sakit?
Sumber asal: Nurul Zatillah dan Amirah Atikah dalam Sinar Harian